Wednesday, May 6, 2009

Persahabatan

PERSAHABATAN itu bermula dari sehelai kertas suci yang telah dinodai oleh beberapa titis tinta di atas pentas permukaannya. Tanpa disedari, kertas yang pada mulanya tidak pernah dicemari oleh sebarang dakwat, samada hitam, biru atau merah dan sebagainya telah pun dicoretkan sesuatu ke atas tubuh badannya. Tuannya begitu bijak mengatur bicara buat tatapan para pembacanya. Tuannya amat lincah dalam mengatur strategi untuk menarik perhatian para peminatnya. Tuannya adalah segala-galanya bagi dirinya dan dia terpaksa akur dengan merelakan dirinya dinodai oleh titis-titis tinta yang juga setia kepada tuannya. Ya… dia menyedari bahawa tuannya kini ingin mengarang sesuatu dan sudah pasti dirinya amat diperlukan bagi merealisasikan impian dan harapan tuannya itu. Tidak sanggup untuk dia mengecewakan hati tuannya itu.

Kertas suci itu sedar, tuannya sebagai seorang penulis agung sudah semestinya memerlukan khidmatnya untuk tuannya itu mencoretkan sesuatu di atas mukanya yang putih suci itu. Sekiranya tidak, dia tidak akan dapat berjasa kepada tuannya. Maka dengan itu, dia akan kecewa kerana telah mengecewakan tuannya. Bagi dirinya, dan bagi makhluk lain juga akan bersetuju sekiranya dinyatakan bahawa persahabatan amat penting dalam sesebuah kehidupan. Tanpa sahabat, hidup kita seolah-olah sunyi dan buta, malah sepi tanpa sebarang makna, tanpa sepatah kata. Di dalam kehidupan seharian, sahabat adalah segala-galanya bagi diri kita. Kita tidak boleh lari dari perasaan ingin bersahabat, ingin sayang-menyayangi, ingin cinta-menyintai dan sebagainya.

Sesungguhnya sebagai insan atau makhluk atau lebih tepat lagi ialah hamba kepada YANG MAHA ESA, semua itu penting bagi kita menjalani rutin harian dengan sempurna dan lengkap. Tiada apa yang lebih indah melainkan kenangan-kenangan ketika kita di alam persekolahan, alam kanak-kanak dan juga alam remaja. Semakin meningkat usia kita, semakin banyak asam garam kehidupan yang kita perolehi. Sebagai bekalan di hari tua supaya kita tidak berasa kesunyian, keseorangan, sahabat adalah penting dan amat diperlukan. Senang dan susah dihadapi bersama. Sakit dan sihat ditempuhi bersama. Semuanya akan berlaku di atas dasar persahabatan.

Kata orang, sahabat adalah seperti saudara kita sendiri. Kepada dialah tempat kita mengadu, tempat kita bergantung harap, tempat kita bermanja, malah tempat untuk kita mengadu domba di kala kita menghadapi masalah. Sedikit sebanyak, geruh yang mencipta penasaran di hati kita akan terubat setelah kita berdampingan dengan sahabat yang begitu memahami dan mengerti akan isi hati kita, akan perasaan kita. Ya… sedarlah wahai teman, mengertilah wahai rakan. Binalah kota harapan dan tugu impian bersama-sama dengan sahabat yang akan membawa kita ke jalan yang diredhai oleh-NYA. Sahabat adalah sahabat yang harus diletakkan jauh di sudut hati kita.

Persahabatan memerlukan keikhlasan, kejujuran dan juga sejuta pengorbanan. Pelbagai kisah persahatan dapat ditontoni di hadapan mata kita. Adakah benar sahabat amat penting dan kekal abadi di dalam hidup kita? Semuanya terserah kepada diri anda sendiri untuk menentukannya. Apa yang penting, fahamilah setiap hati budi seorang sahabat jika kita ingin bahagia bersama dengannya. Kata orang, persahabatan itu ibarat sekuntum bunga yang sentiasa mekar mewangi di dalam hati kita jika ianya dibajai dengan keikhlasan dan kejujuran. Jika tidak…? Anda fikirkanlah sendiri…

Persahabatan itu…? Bagi diri ini, persahabatan adalah sesuatu yang abstrak. Sukar diberikan makna dengan hanya melalui kata-kata. Fikirkanlah... Mungkin suatu hari nanti anda juga akan memerlukan seorang sahabat seperti insan-insan yang lain di mana bahagia bersama sahabat mereka...

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...